PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh dikenakan terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Keputusan majoriti itu diumumkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang memutuskan bahawa fatwa tersebut hanya boleh dikenakan terhadap individu beragama Islam, dan bukannya entiti berdaftar seperti syarikat atau pertubuhan.
Dengan keputusan ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh SIS dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
“Tafsiran kami mendapati bahawa frasa ‘orang yang menganut agama Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk kepada orang semula jadi, dan bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan,” kata Tengku Maimun ketika membacakan keputusan.
Dalam hujahan penuh, Ketua Hakim Negara menjelaskan bahawa hanya manusia sebagai individu boleh menjalankan rukun-rukun utama Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan serta menunaikan haji.
“Syarikat sebagai entiti buatan tidak memiliki kapasiti untuk beribadah atau bertaubat seperti yang disarankan dalam kandungan fatwa tersebut,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, meskipun isu ini berkait dengan fatwa, persoalan utama yang dinilai oleh Mahkamah adalah tafsiran perlembagaan, khususnya dalam Perkara 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini mendapat perhatian luas sejak beberapa tahun lalu kerana melibatkan hubungan antara fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan kebebasan bersuara serta hak asasi dalam konteks pertubuhan berdaftar.
SIS sebelum ini mencabar kesahan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 2014 yang mengaitkan mereka dengan fahaman sesat.