PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa rayuan oleh SIS Forum (Malaysia) tidak berkaitan dengan pegangan atau doktrin Islam, sebaliknya hanya melibatkan semakan terhadap kuasa pihak berkuasa agama negeri Selangor.
Keputusan itu diumumkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menjelaskan bahawa cabaran undang-undang oleh SIS Forum bukan mengenai kepercayaan Islam secara substantif, tetapi berkisar kepada pelaksanaan kuasa pentadbiran pihak berkuasa agama.
“Fakta bahawa pihak berkuasa berurusan dengan isu akidah dan doktrin tidak menjadikan perkara itu kebal daripada semakan kehakiman,” kata beliau dalam penghakiman setebal 40 muka surat yang dikeluarkan kelmarin.
Mahkamah turut membenarkan sebahagian rayuan SIS Forum dan memutuskan bahawa fatwa yang diwartakan pada 31 Julai 2014 yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai menyimpang daripada ajaran Islam tidak terpakai kepada entiti itu atau mana-mana individu di dalamnya yang bukan beragama Islam.
Mahkamah berpendapat, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 hanya terpakai kepada umat Islam sahaja, dan oleh itu, SIS Forum sebagai sebuah syarikat tidak tertakluk kepada fatwa tersebut.
Tengku Maimun turut menjelaskan bahawa walaupun Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam hal ehwal Islam, kuasa tersebut tetap terikat dengan Perlembagaan dan tidak boleh melangkaui batas yang ditetapkan undang-undang.
“Jika Mahkamah Syariah bertindak di luar bidang kuasa, ia tetap boleh disemak oleh Mahkamah Sivil,” jelasnya.
Mahkamah juga menolak hujahan bahawa rayuan SIS Forum adalah pramatang kerana tiada pertuduhan dikenakan terhadap mereka di Mahkamah Syariah.
Panel hakim berpendapat isu utama adalah kuasa pihak berkuasa agama dalam menguatkuasakan fatwa terhadap entiti bukan Muslim.
Mahkamah Persekutuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan majoriti Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak semakan kehakiman SIS Forum.
Panel hakim berpandangan bahawa kedua-dua mahkamah tersebut gagal mematuhi prinsip keputusan terdahulu (stare decisis), yang merupakan asas dalam sistem keadilan.
Tengku Maimun turut mengingatkan bahawa semua hakim perlu mematuhi penghakiman Mahkamah Persekutuan kerana ia bersifat mengikat, dan kegagalan berbuat demikian merupakan satu penghinaan terhadap sistem perundangan negara.
SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Anwar, memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 bagi mencabar kesahan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Mereka menamakan jawatankuasa itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.