KUALA LUMPUR: Usaha Atomy Malaysia Sdn. Bhd. untuk menyaman penceramah bebas Firdaus Wong berhubung dakwaan fitnah berkaitan isu kristianisasi berakhir dengan kekalahan apabila Mahkamah Tinggi pada semalam, menolak keseluruhan tuntutan syarikat berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, memutuskan bahawa defendan berjaya membuktikan pembelaan justifikasi serta komentar berpatutan, sekali gus menyaksikan keputusan memihak sepenuhnya kepada Firdaus Wong.
Peguam Firdaus, Syahidah Hanum Mohd Ghazali yang hadir bersama Norazali Nordin, memaklumkan mahkamah turut mengarahkan Atomy Malaysia selaku plaintif membayar kos sebanyak RM70,000 kepada anak guamnya, yang juga dikenali dengan nama sebenar Firdaus Wong Wai Hung.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Atomy Malaysia merupakan sebuah syarikat pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang menjalankan perniagaan dalam talian melibatkan produk kosmetik, kesihatan dan barangan isi rumah, dengan keahlian dianggarkan seramai 1.6 juta orang termasuk pengguna dan pengedar.
Manakala Firdaus Wong pula dikenali sebagai pengasas badan bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM) serta seorang pendakwah Islam yang aktif mengulas isu-isu agama dan sosial, khususnya menerusi media sosial Facebook dengan ratusan ribu pengikut.
Kes saman itu difailkan susulan satu video dimuat naik Firdaus Wong pada 30 Disember 2020 di Facebook yang mendapat puluhan ribu interaksi, selain beberapa kenyataan susulan yang dibuat antara Januari hingga Mac 2021, yang didakwa menjejaskan reputasi syarikat berkenaan.
Sementara itu, Firdaus Wong meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kelegaan besar selepas berdepan tindakan undang-undang berkenaan.
“Alhamdulillah, Allahu Akbar. Kita menang saman fitnah terhadap Atomy Malaysia. Saya akan dedahkan lebih banyak perkara yang berlaku dalam mahkamah berdasarkan keterangan saksi-saksi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.










