Isu Integriti, Ketelusan Diperkasa, Dzulkifli Aset UMNO – Puad

KUALA LUMPUR: Penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad ke dalam UMNO mencuri perhatian ramai apabila beliau menyertainya tanpa sebarang keistimewaan atau janji jawatan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Dzulkifli sebagai aset penting kepada parti, khususnya dalam memainkan peranan semak dan imbang berkaitan isu perundangan, rasuah serta ketelusan.

“Beliau berhubung terus dengan ketua cawangan dan ketua bahagian. Dia masuk dari bawah. Tidak ada permaidani merah, tidak ada janji jawatan, tidak ada gegak gempita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dzulkifli yang merupakan anak jati Pulau Pinang menyertai UMNO melalui cawangan Merbau Kudong, Bahagian Tasek Gelugor. Beliau dilantik menerajui SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018.

Dzulkifli menegaskan penyertaannya hanyalah sebagai ahli biasa, tanpa sebarang rundingan dengan pimpinan tertinggi parti mahupun perjanjian dengan rakyat.

“Saya memilih UMNO kerana ia pernah menjadi parti dominan. Kini saya mahu membawa nafas baharu untuk membina semula kekuatan UMNO demi orang Melayu,” katanya.

Menurut Dzulkifli, keputusan itu dibuat selepas lebih tiga tahun beliau berkhidmat secara langsung dengan rakyat, dan merasakan sudah tiba masanya untuk menyumbang dalam ruang politik secara sah dan terbuka.

Penyertaan beliau dilihat sebagai satu perkembangan strategik bagi UMNO, terutamanya dalam usaha menambah kredibiliti dan imej integriti parti menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

BBerkaitan

Latest articles