KOTA KINABALU: Istana Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dengan kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Perhubungan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Husin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja mencemarkan nama baik keluarga Tun Musa Aman, malah turut mengelirukan orang awam,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah berkaitan kes ini, kerana tindakan sedemikian boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Abdulah, sebarang maklumat berkaitan perkembangan siasatan perlu dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan.
Difahamkan, kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar oleh PDRM Kontinjen Sabah ke Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Tun Datu Mustapha, ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama kira-kira jam 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan.