IPOH: Tindakan berani seorang lelaki muda menyamar sebagai anggota polis trafik untuk meminta wang sogokan berakhir dengan penahanan selepas taktik liciknya terbongkar awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham, selepas tular satu video menunjukkan dia berpakaian menyerupai anggota polis dan menahan seorang penunggang motosikal.
“Hasil siasatan mendapati suspek menahan penunggang motosikal berkenaan dengan mendakwa mangsa melakukan kesalahan ubah suai motosikal. Dia kemudian meminta wang tunai RM300 sebagai sogokan bagi mengelakkan dikenakan saman,” katanya dalam satu kenyataan, Ahad.
Bagaimanapun, mangsa yang berasa curiga dengan tindakan suspek segera menghubungi rakannya sebelum memaklumkan kejadian kepada polis sebenar.
Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya membawa kepada penahanan suspek tidak lama kemudian bersama pelbagai barangan yang digunakan untuk menyamar.
Antara yang dirampas ialah vest pantul cahaya bertulis “bike rescue”, topi dan kasut berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, alat ‘walkie talkie’ serta beberapa pelekat rasmi PDRM.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” jelas Abang Zainal.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang mengaku sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa yang sah, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan seperti ini.










