Imej Dewa Murugan Pada Kotak Pizza Cetus Kemarahan Komuniti Hindu

KUALA LUMPUR: Malaysia Hindhudharma Maamandram (MHM) menzahirkan rasa kesal dan mengecam tindakan sebuah syarikat pizza yang menggunakan imej Dewa Murugan, dewa suci agama Hindu, pada reka bentuk kotak pizza terbaharunya.

Presidennya, Rishikumar Vadivelu, berkata walaupun niat syarikat itu mungkin untuk meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, penggunaan imej sedemikian dianggap amat menyinggung perasaan penganut Hindu kerana ia diletakkan pada bahan pakai buang yang akan berakhir sebagai sampah.

“Mengaitkan dewa utama agama Hindu dengan pembungkusan makanan komersial lebih-lebih lagi yang mengandungi makanan bukan vegetarian, termasuk daging lembu adalah satu tindakan tidak sensitif dan menyinggung ramai penganut Hindu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reka bentuk kotak berkenaan turut memaparkan ilustrasi kartun sedang menikmati pizza dengan latar belakang mercu tanda Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad, serta imej buah durian.

Rishikumar berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar kesucian agama, tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan antara penganut agama di negara ini.

“Menggunakan imej suci pada bahan pembungkus yang dibuang selepas digunakan mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap sensitiviti agama berjuta-juta penganut Hindu di Malaysia,” tegasnya.

Susulan itu, MHM menuntut syarikat berkenaan menarik balik segera semua kotak pizza terbabit dan mengeluarkan permohonan maaf awam tanpa syarat.

Badan itu turut menyeru agar syarikat terbabit melaksanakan rundingan budaya dan agama bagi memastikan semua bahan promosi serta pembungkusan akan datang tidak menyinggung mana-mana komuniti.

BBerkaitan

Latest articles