Ibu Zara Qairina Dakwa Temui Kesan Lebam, Mahu Siasatan Kes Dibuka Semula

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir tampil membuat laporan polis berhubung penemuan kesan lebam pada tubuh anaknya ketika jenazah mangsa dimandikan di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.

Menurut kenyataan bersama peguam mewakilinya, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, laporan terbaharu itu dibuat Noraidah Lamat di Balai Polis Sipitang selepas beliau teringat kembali kecederaan yang didakwa terdapat pada badan arwah.

“Noraidah melihat sendiri kesan-kesan lebam berkenaan sewaktu memandikan jenazah Zara Qairina bersama beberapa ahli keluarga dan wanita lain. Namun, perkara penting itu tidak dimasukkan ke dalam laporan polis terdahulu kerana beliau terlupa sepenuhnya akibat terlalu sedih dengan apa yang menimpa anaknya sejak 16 Julai,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah mereka, Noraidah mengesyaki kesan lebam tersebut berpunca daripada kecederaan akibat hentakan objek tumpul yang dipercayai berlaku sebelum arwah ditemukan meninggal dunia di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada Subuh 16 Julai lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, para peguam itu turut merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa siasatan polis berkaitan kes berkenaan telah selesai dan kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.

Bagaimanapun, ujar mereka, laporan terbaharu daripada ibu mangsa itu wajar dijadikan asas untuk membuka semula siasatan kes.

“Kami berpandangan bahawa kubur arwah Zara perlu digali semula secepat mungkin dan satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian serta memastikan sama ada wujud unsur jenayah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles