KLANG: Dua beranak ditemukan maut selepas mayat mereka ditemui terapung berhampiran Jeti Pulau Ketam, pagi tadi, dalam insiden yang kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, kejadian disedari seorang lelaki tempatan kira-kira jam 7.30 pagi apabila terlihat seorang kanak-kanak perempuan terapung di laut sebelum bertindak menyelamatkannya dengan bantuan orang awam.
“Bagaimanapun, sebaik dibawa naik ke jeti, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Pulau Ketam yang tiba bersama anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak lama kemudian, mayat seorang wanita dewasa turut ditemukan di kawasan berhampiran dan disahkan meninggal dunia sejurus dibawa ke jeti.
Hasil pemeriksaan dokumen yang ditemui dalam sebuah beg berhampiran lokasi kejadian mendapati mangsa ialah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun, bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun.
Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.
Buat masa ini, tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu,” kata Kamalariffin.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau hadir ke balai polis berdekatan.
Dalam pada itu beberapa pengguna di platform media sosial mengaitkan kematian dua beranak itu dengan masalah rumah tangga membabitkan wanita berkenaan.