KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 terhadap dua individu, Harith Iskander dan Cecelia Yap, atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.
Berdasarkan kenyataan, MCMC memaklumkan tindakan itu diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Selain tindakan kompaun, MCMC juga telah memohon kepada syarikat induk Facebook, Meta, untuk menurunkan kandungan tersebut setelah didapati melanggar garis panduan komuniti platform itu.
Permohonan bagi penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dikemukakan dan kini dalam penelitian pihak Meta.
Januari lalu, hantara Harith Iskandar di Facebooknya mendapat kecaman umat Islam selepas cuba membuat jenaka menggunakan topik ham.
Bersama hantaran itu, Harith turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
Hantaran itu menyebut imannya mungkin tergugat dengan menu ham berkenaan.
Gambar itu dipercayai diambil dari gambar senarai menu kopi yang dijual premis rangkaian jualan minuman kopi tempatan yang berniaga menggunakan trak makanan.