Hilang Kepercayaan Anwar? “Itu Hanya Dakwaan Rafizi”

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kehilangan kepercayaan daripada Perdana Menteri hanyalah dakwaan peribadi.

Menurut Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, tiada pengesahan rasmi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak mempercayai Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR atau sebagai Menteri Ekonomi.

“Itu hanya dakwaan beliau,” kata Fahmi ketika ditemui pada Karnival Kita Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai, hari ini.

Semalam, Rafizi dalam podcast eksklusifnya “Yang Berhenti Menteri” menyatakan bahawa pencalonan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR baru-baru ini disokong penuh oleh Presiden parti, dan hal itu menjadi petanda jelas bahawa beliau telah kehilangan mandat dan keyakinan daripada pucuk pimpinan.

Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, bertindak melepaskan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu, dan peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada Selasa lalu.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa beliau ‘merajuk’ atau kecewa secara peribadi, sebaliknya menegaskan tindakan itu dilakukan atas dasar prinsip dan integriti politik.

“Saya pelik bila ada yang kata saya merajuk. Saya tak mahu jawatan menteri itu kerana saya tahu saya dah hilang kepercayaan. Kalau saya kekal, saya hanya akan jadi menteri yang tiada suara,” kata Rafizi dalam siaran tersebut.

BBerkaitan

Latest articles