Hentikan Spekulasi Mengenai Pelantikan Kehakiman Tertinggi – Sultan Selangor

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghentikan segala bentuk spekulasi serta tohmahan berkaitan pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman negara yang bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Baginda bertitah, antara agenda utama Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-269 adalah membincangkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, serta hakim-hakim mahkamah atasan yang lain.

Sultan Sharafuddin turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Istana Negara minggu lalu yang menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik individu ke jawatan-jawatan utama ini atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Raja-Raja.

“Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini mesti dilaksanakan secara telus dan berhati-hati bagi memelihara keluhuran undang-undang serta menegakkan prinsip keadilan, yang merupakan tonggak utama negara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, baginda menggesa semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mahupun tuduhan negatif tanpa terlebih dahulu mendapatkan fakta lengkap dan sahih berhubung perkara ini.

Sebelum ini, kerajaan menerima kritikan susulan kelewatan dalam pelantikan hakim-hakim kanan berikutan persaraan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, serta kekosongan lain yang dijangka berlaku di mahkamah atasan.

Ketika ini, Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, sedang memangku jawatan Ketua Hakim Negara menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Yusof, memangku jawatan Presiden Mahkamah Rayuan selepas persaraan Abang Iskandar Abang Hashim.

Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, pula dijadualkan bersara pada bulan ini, menambah desakan supaya pelantikan tetap dapat diputuskan segera.

Sehubungan dengan itu, Baginda turut menitahkan agar semua pihak mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.

BBerkaitan

Latest articles