SEPANG: Cubaan licik 16 warga Indonesia untuk memasuki Malaysia secara haram melalui helah transit ke Thailand berjaya dipatahkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.
Kesemua mereka, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun, tiba dari Surabaya dan menjadikan Hatyai, Thailand sebagai destinasi akhir penerbangan.
Namun hasil pemeriksaan mendapati tujuan sebenar mereka adalah untuk menyelinap masuk semula ke Malaysia.
Siasatan lanjut dan semakan melalui sistem MyIMMs mendapati 15 daripada mereka pernah disenarai hitam kerana tinggal melebihi tempoh sah ketika kunjungan terdahulu ke negara ini, manakala seorang lagi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut AKPS, kumpulan tersebut dipercayai menggunakan khidmat ejen atau ‘tekong’ yang merancang perjalanan mereka ke Hatyai melalui transit di Malaysia.
Selepas itu, mereka dijadualkan masuk semula ke negara ini secara haram melalui sempadan utara menggunakan ‘laluan tikus’ yang sukar dikesan pihak berkuasa.
“Semua individu terlibat telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan dihantar pulang serta-merta ke negara asal,” menurut kenyataan AKPS.
Dalam insiden berasingan, Pasukan Pemantau KLIA2 mengesan seorang pegawai penguat kuasa imigresen di kaunter rujukan yang didapati memberi cop masuk kepada seorang warganegara India tanpa mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan (counter-setting).
Pegawai terbabit kini telah dirujuk kepada Unit Integriti untuk siasatan dalaman dan tindakan lanjut.
AKPS menegaskan bahawa kawalan keselamatan di semua pintu masuk antarabangsa akan terus diperketatkan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang percubaan untuk memasuki Malaysia secara tidak sah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pegawai yang cuba mempermainkan integriti sistem keselamatan sempadan negara,” katanya.