KUALA LUMPUR: Seorang wanita tampil ke hadapan bagi menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya mengaitkan dirinya dengan seorang pegawai kanan tentera, sekali gus menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas.
Dalam satu kenyataan, Dasyarina Sarilah Daud berkata penjelasan itu dibuat atas inisiatif sendiri demi melindungi maruah diri, keluarga serta syarikatnya daripada sebarang persepsi negatif.
Menurutnya, hubungan dengan individu yang dinamakan dalam hantaran tular itu sekadar rakan biasa dan kenalan ketika bermain golf, tanpa sebarang kaitan peribadi.
Beliau turut menegaskan tidak pernah menerima sebarang projek kerajaan, termasuk daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) atau mana-mana agensi kerajaan.
“Saya menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan tohmahan yang mengaitkan saya dengan perkara tersebut,” katanya.
Susulan penyebaran maklumat tidak benar itu, Dasyarina Sarilah memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang menularkan dakwaan berkenaan.
Sebelum ini, seorang aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, memuat naik beberapa hantaran di Facebook yang mengaitkan seorang pegawai kanan tentera laut dengan dakwaan melibatkan isu integriti dan urusan peribadi.
Hantaran itu turut mengaitkan seorang wanita, namun dakwaan tersebut dibuat tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.










