KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengakui Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah menyatakan hasrat untuk menyerahkan kepimpinan tertinggi kepadanya apabila tiba waktunya.
“Umum tahu bahawa presiden mahu menyerahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata Ketua Pembangkang itu dalam wawancara bersama stesen radio BFM baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu berkata, peralihan kuasa tersebut bukan isu mendesak dan bergantung sepenuhnya kepada keputusan Muhyiddin.
“Seperti acara lari berganti-ganti, beliau pelari pertama dan saya pelari kedua. Saya hanya menunggu isyarat untuk mengambil baton dan meneruskan larian,” katanya.
Hamzah turut menegaskan kesetiaannya kepada Muhyiddin, menolak dakwaan wujud perebutan kuasa dalam parti itu.
“Saya telah nyatakan dengan jelas sokongan penuh kepada presiden saya. Tidak sepatutnya timbul persoalan lagi,” ujarnya.
Mengulas isu pemecatan dan penggantungan beberapa ahli termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Hamzah menganggapnya sebagai perbezaan pendapat biasa yang tidak harus diperbesarkan.
“Saya harap kemelut dalaman ini segera reda. Parti perlu bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya Bersatu kini berpecah kepada tiga kem antara penyokong Muhyiddin, Azmin Ali dan dirinya sendiri.
“Kalau benar pun, itu tanda kita mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang diiktiraf rakyat,” katanya sambil menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan parti.
Ketegangan dalam Bersatu dilihat semakin ketara selepas tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin kanan, di tengah-tengah gesaan agar Muhyiddin melepaskan jawatan presiden bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu.










