Hampir Dua Jam Ayah Merangkak Dalam Gelap Cari Kaki Anak

KUALA KRAI: Dalam keheningan malam yang gelap dan sunyi, seorang bapa melalui detik paling memilukan apabila terpaksa mencari kaki kanan anak sulungnya yang terputus akibat kemalangan jalan raya, hampir dua jam lamanya.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam Sabtu di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri itu meragut sebahagian anggota tubuh pelatih dan pemain ragbi Sukma Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha, 20.

Mangsa yang juga pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Vokasional Kuala Krai dipercayai mengalami kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta ketika menaiki bukit.

Menurut adiknya, Nurul Asyiqin, 18, ibu bapa mereka bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai kejadian oleh anak jiran.

“Ayah ambil masa hampir dua jam mencari kaki kanan abang yang terputus dalam keadaan gelap. Kaki itu akhirnya ditemukan, tetapi doktor maklumkan ia sukar disambung kerana terputus bermula dari bahagian pinggul ke bawah,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Lebih menyayat hati, bapanya, Mohamad Azaha Ismail, 53, yang mengakui takut melihat darah, tetap menggagahkan diri menguruskan anggota badan anaknya itu termasuk mencuci dan menanamnya.

“Sehingga kini ibu dan ayah masih banyak berdiam diri. Abang adalah anak lelaki sulung dan harapan keluarga,” ujarnya.

Ibu mangsa, Nik Zurinawati Yusuf, 46, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultan Ismail Petra, turut berada di lokasi dan membantu menguruskan anaknya sebelum dibawa ke hospital.

Menurut Nurul Asyiqin, ibunya memaklumkan walaupun sudah biasa berdepan kes kecemasan, insiden melibatkan darah daging sendiri memberi kesan trauma yang mendalam.

Mangsa dikejarkan ke hospital akibat pendarahan teruk dan dimasukkan ke bilik bedah dari jam 11 malam hingga 5 pagi sebelum ditidurkan bagi rawatan lanjut.

Difahamkan, kaki kanan yang terputus belum ditemui ketika mangsa dibawa ke hospital kerana keadaan di lokasi terlalu gelap dan dipercayai tercampak jauh akibat impak pertembungan.

Lebih memilukan, sejam sebelum kemalangan, Sayyid Iskandar dikatakan sempat memujuk ibunya untuk membenarkannya menyertai Cabaran ‘Moreh’ Tujuh Sebelah yang dijadual berlangsung Jumaat dan Sabtu ini, namun tidak diizinkan kerana diadakan dalam bulan Ramadan.

“Abang sangat teringin sertai cabaran itu. Selepas berbual dengan ibu, dia sempat bermain dengan adik bongsu sebelum keluar moreh bersama rakan-rakan.

“Pada malam kejadian, kebetulan abang tidak ke masjid menunaikan tarawih seperti kebiasaannya,” katanya.

Menurutnya lagi, kereta yang terlibat dipercayai memotong kenderaan lain ketika menaiki bukit. Sayyid Iskandar yang menunggang bersama tiga rakannya berada di bahagian belakang.

“Ketika kereta itu memotong, motosikal abang sedang menaiki bukit. Dia dipercayai tidak nampak kemunculan kereta tersebut sebelum berlaku pertembungan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles