Gurauan Rakam Rakan Serumah Mandi Akhirnya Bawa Padah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang pada semalam mengenakan hukuman dend sebanyak RM3,300 terhadap seorang akauntan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaib kehormatan rakan serumah dengan merakam video lelaki itu sedang mandi, Jumaat lalu.

Muhammad Fahmi Akmal Zakaria, 30, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, lapor Sinar Harian.

Mengikut tuduhan, Fahmi didakwa mengaibkan kehormatan dengan niat mengganggu kesantunan seorang lelaki berumur 31 tahun dengan cara merakam video mangsa sedang mandi di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana, pada 8.10 pagi, 20 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa menyedari terdapat cahaya berkelip di rak perkakas semasa sedang mandi di rumah sewanya, lalu mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh rakan serumah.

Lelaki itu kemudian mengambil komputer riba dan wayar USB milik tertuduh dan mendapati peranti kamera tersebut mempunyai kad memori yang mengandungi video dirinya sedang mandi dalam keadaan bogel.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Azizi Darus yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh menanggung keluarga.

Katanya, tertuduh mendakwa perbuatan itu hanya sekadar gurauan kerana dia dan mangsa adalah teman serumah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Norhidayah berkata perkara itu bukan gurauan kerana jika video tersebut tersebar ia boleh mengaibkan mangsa.

BBerkaitan

Latest articles