KUALA LUMPUR — GISSCO Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen PETRONAS 001, bakal meraikan pencapaian 50 tahun penubuhannya dengan Majlis Gala Jubli Emas dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 pada 15 September ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu, termasuk pemegang taruh, rakan industri, warga kerja dan wakil media, sekali gus menjadi platform untuk mengiktiraf individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat sejak 1975.
Pengarah Urusan GISSCO, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid berkata, syarikat itu bermula dengan perkhidmatan katering luar pesisir sebelum berkembang sebagai penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, pengurusan acara dan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE).
“Pemilikan Lesen PETRONAS 001 bukan sekadar keistimewaan, ia adalah legasi. Kejayaan ini didasari usaha pengasas, Allahyarham Haji Mohammad Rashid Haji Mohd Fahmi, yang berjuang mengekalkan syarikat di tengah cabaran industri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang ditemani Pengarah GISSCO, Umaira Mohammad Rashid dan Pengarah Operasi, Shahrul Azni Shahruddin, berkata ketahanan syarikat selama setengah abad adalah hasil kerja berpasukan daripada staf lapangan hingga kepimpinan pengurusan.
“Kami mahu pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada generasi usahawan Bumiputera untuk menerajui sektor strategik negara dengan jati diri dan integriti,” katanya sambil memaklumkan pelancaran logo baharu turut akan diadakan pada majlis tersebut.
Acara kemuncak ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 bagi menghargai dedikasi warga kerja di cawangan Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat Kuala Lumpur. Persembahan artis seperti Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly dan Atilia akan memeriahkan sambutan.
Gala ini disifatkan sebagai simbol perjalanan luar biasa GISSCO sebagai syarikat 100% Bumiputera — memperingati sejarah Lesen PETRONAS 001, memperkukuh inovasi, memperkasa bakat tempatan dan memperluas impak sosial, sambil bersedia melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik.