KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi tampil memperjelaskan kenyataan sebelum ini yang menggesa perubahan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN), dengan menegaskan bahawa ia bukan bertujuan mempersoalkan jawatan atau kedudukan mana-mana individu dalam gabungan politik itu.
Sebaliknya, kata Nadzir, kenyataan tersebut adalah peringatan agar PN tampil lebih tangkas, cekap dan kreatif dalam mendepani cabaran politik semasa serta menangani kerajaan yang menurutnya semakin bersifat autoritarian.
“Saya menolak sebarang cubaan untuk memesongkan maksud tulisan tersebut kepada persoalan jawatan atau kedudukan mana-mana pihak. Fokus kita seharusnya ialah pada hala tuju, bukan pada figura semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah beliau, kejayaan PN bergantung kepada kebijaksanaan kolektif dalam mengurus kekuatan dalaman dan bukan bergantung semata-mata kepada tokoh tertentu.
Kenyataan ini hadir susulan kritikan awal beliau minggu lalu, yang memberi amaran bahawa PN sedang menempah kegagalan jika terus kekal statik dan tidak responsif terhadap cabaran semasa.
Pandangannya itu turut menyokong gesaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, agar dilakukan rombakan dalam pentadbiran PN.
Menjelaskan lanjut, Nadzir berkata gesaan tersebut lahir daripada tanggungjawab terhadap perjuangan bersama dalam PN serta kesedaran terhadap keperluan mendesak membentuk pendekatan baharu yang lebih inovatif.
“Kita sedang berdepan musuh politik yang bijak mencipta persepsi, mengeksploitasi kelemahan dan mengelirukan rakyat. Maka, pengurusan gerakan PN mesti berubah dengan strategi lebih segar dan berfikir di luar kotak,” ujarnya.
Nadzir turut menyenaraikan beberapa cabaran utama yang dihadapi PN termasuk tekanan politik, sekatan suara pemimpin pembangkang, kekurangan peruntukan, serta keperluan membentuk pasukan media dan naratif yang mantap.
Beliau juga menyentuh tentang cabaran dalam memulihkan jati diri anak muda Melayu-Islam serta rakyat Malaysia keseluruhan yang kini berdepan tekanan ekonomi dan isu kelangsungan hidup.
“Inilah asas kepada gesaan saya. Anak muda mesti berani berubah. Kita perlu cipta gelombang baharu dan keluar dari kepompong biasa demi masa depan negara yang kita cintai,” tegasnya.