KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka siasatan berhubung penyebaran beberapa video berunsur fitnah serta hasutan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) yang tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas TH membuat laporan rasmi berhubung perkara itu.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang didapati menyebarkan tuduhan palsu meskipun penjelasan rasmi telah diberikan oleh TH dan Menteri Agama di Parlimen.
“Individu yang terbabit kini sedang dikenal pasti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, dan jumlah itu bukanlah kecil,” katanya selepas melancarkan Kempen Denyut Nadi Merdeka serta mengumumkan operasi Rapid KL sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad, mengesahkan laporan polis dan SKMM telah dibuat berhubung video tular yang memprovokasi isu penjenamaan semula serta tadbir urus institusi berkenaan.
Beliau menjelaskan, inisiatif penjenamaan itu sebenarnya bertujuan memperkukuh peranan TH sebagai institusi simpanan umat Islam, sekali gus memberi peluang kepada pendeposit mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadah haji.
Namun, katanya, dakwaan melulu di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat yang belum disahkan.
Beliau merujuk beberapa kes sebelum ini, termasuk fitnah membabitkan arwah Zara Qairina yang kononnya dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh seorang guru, serta kes seorang individu menyamar sebagai pakar patologi untuk menyebarkan dakwaan tidak berasas.
“Dalam kedua-dua kes, pihak terbabit ditahan dan didakwa di mahkamah. Itu pengajaran jelas bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu jenayah,” tegasnya.
Fahmi menegaskan, siasatan terhadap kes fitnah TH tidak akan dibiarkan berlarutan dan tindakan undang-undang akan diambil.
Jika terdapat elemen lain, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut akan menjalankan siasatan selaras dengan laporan yang sudah dibuat oleh pihak TH.
Beliau menegaskan, masyarakat harus lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat tidak sahih kerana perbuatan itu boleh membawa padah undang-undang.