PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti secara mendalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan bahawa fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia tidak boleh dikenakan ke atas pertubuhan itu kerana ia bukan individu Islam, tetapi sebuah syarikat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam kenyataannya berkata, pihak kerajaan menghormati keputusan mahkamah tertinggi negara dan menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa diutamakan.
“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
“Fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Keputusan dibuat oleh panel empat hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dengan majoriti 3-1.
Panel berpendapat bahawa fatwa hanya boleh dikenakan ke atas “orang yang menganut agama Islam” sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, dan bukan terhadap entiti buatan seperti syarikat.
“Sebuah syarikat tidak menganut agama, tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah atau melaksanakan rukun Islam seperti solat dan puasa. Maka ia tidak termasuk dalam tafsiran orang Islam dalam konteks ini,” kata Tengku Maimun.
Keputusan ini sekali gus membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Julai 2014, yang mengisytiharkan SIS menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa membawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Na’im menegaskan bahawa pentadbiran hal ehwal Islam akan terus dilaksanakan secara adil dan berdasarkan prinsip syura, ilmu dan lunas undang-undang negara.
“Kerjasama erat antara institusi kehakiman, legislatif dan pihak berkuasa agama amat penting bagi memastikan institusi fatwa terus dihormati dalam kerangka sistem Perlembagaan,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi Islam, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.