KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dan bekas pegawai politik, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menafikan dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengannya telah dianugerahkan lesen penerokaan oleh sebuah agensi kerajaan Sabah.
Melalui surat tuntutan yang dihantar kepada portal berita MalaysiaNow, peguam Farhash menyifatkan laporan berkenaan sebagai “palsu, fitnah dan merosakkan reputasi anak guam mereka”.
“Farhash bukan pemilik Bumi Suria Sdn Bhd, tetapi hanya seorang pengarah dan pemegang saham. Artikel tersebut mengaitkan beliau secara salah dengan kepentingan peribadi dalam satu lesen yang tidak pernah wujud,” kata peguamnya dalam kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan bahawa Farhash mahupun Bumi Suria tidak pernah dianugerahkan sebarang lesen penerokaan atau prospek mineral di Sabah.
Surat tuntutan itu juga menyenaraikan beberapa permintaan terhadap MalaysiaNow, termasuk penarikan balik artikel secara penuh dan tanpa syarat dan permohonan maaf terbuka yang perlu diterbitkan di laman web dan semua saluran media sosial MalaysiaNow dalam tempoh 48 jam.
Farhash turut menuntut menghentikan serta-merta penyebaran kandungan artikel berkenaan selain memadam artikel asal daripada semua platform digital.
“Kegagalan mematuhi tuntutan ini dalam tempoh ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap organisasi dan mana-mana individu yang bertanggungjawab,” tegas mereka.
Peguam Farhash juga mendakwa MalaysiaNow telah gagal menyemak fakta dengan pihak berkuasa berkaitan dan melanggar standard asas kewartawanan, sekali gus menyumbang kepada penyebaran maklumat tidak tepat.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan bahawa syarikat Bumi Suria Sdn Bhd kononnya telah menerima lesen daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) untuk meneroka kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara, dipercayai untuk tujuan perlombongan arang batu.
Namun, laporan itu segera disangkal oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, yang menjelaskan bahawa SMM tidak mempunyai kuasa untuk menganugerahkan sebarang lesen penerokaan.
“Bumi Suria tidak pernah diberikan sebarang lesen atau hak eksklusif oleh kerajaan negeri Sabah,” jelas Natasha dalam kenyataan seperti dilaporkan FMT.