Fahmi Tegur Menteri, Ingatkan Layan Media Secara Profesional

PUTRAJAYA: Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan setiap wartawan berhak bertanya apa jua soalan kepada menteri ketika menjalankan tugas, dan anggota pentadbiran kerajaan wajib melayan mereka secara profesional serta berhemah.

Fahmi berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat atau menghadkan hubungan antara wartawan dan mana-mana menteri.

“Tiada arahan khusus dikeluarkan kepada mana-mana anggota pentadbiran kerajaan. Semua menteri diingatkan agar sentiasa terbuka menjawab soalan daripada media.

“Jawapan juga perlu disampaikan dengan cermat, berlandaskan prinsip saling menghormati antara media dan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, semalam.

Menurutnya, pendirian itu selaras dengan sikap terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa bersedia menjawab sebarang pertanyaan media tanpa sekatan.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas isu membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang sebelum ini tular selepas menegur seorang wartawan Utusan Malaysia dalam sidang media program prapelancaran projek “I Lite U” sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam kejadian itu, Kor Ming menyoal latar belakang media wartawan berkenaan selepas ditanya mengapa program tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Kebangsaan, sebelum menyatakan akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan.

Fahmi memaklumkan bahawa Kor Ming kini bersedia bertemu dengan pihak pengurusan Utusan Malaysia bagi menjernihkan keadaan.

“Beliau telah memaklumkan akan bertemu dengan pihak pengurusan untuk menjernihkan isu tersebut. Itu komitmen beliau,” kata Fahmi.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri urusan sama ada Kor Ming akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan terlibat.

“Saya serah kepada beliau,” katanya ringkas.

Beliau turut mengesahkan isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan menegaskan kerajaan memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan hubungan penting antara kerajaan dan media.

BBerkaitan

Latest articles