KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tetap akan diteruskan dengan penuh semangat patriotisme meskipun negara masih bersedih dengan tragedi kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, Hari Kebangsaan adalah acara kenegaraan yang menjadi simbol penyatuan rakyat, justeru ia tidak wajar dijadikan polemik walaupun negara diuji dengan insiden menyayat hati.
“Merdeka itu acara kenegaraan, acara kebangsaan. Saya sarankan kita sambut dengan semangat. Kesedihan yang kita lalui tidak seharusnya memadamkan roh Merdeka,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, hari ini.
Mengulas gesaan segelintir pihak supaya sambutan dibatalkan, Fahmi menjelaskan bahawa kerajaan tetap komited memastikan keadilan untuk Zara Qairina dan juga mangsa lain yang pernah terkorban akibat isu berkait buli serta kecuaian institusi.
“Saya pun nakkan justice untuk Zara. Saya pun nakkan justice untuk Faris. Saya pun nakkan justice untuk Syamsul. Kita tidak mahu kes-kes seperti ini berulang,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan siasatan kes Zara telah diambil alih Bukit Aman, dengan inkues dijangka ditetapkan dalam masa terdekat, sekali gus memberi keyakinan bahawa keadilan akan ditegakkan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar tragedi Zara tidak dipolitikkan sehingga menenggelamkan semangat kebangsaan yang seharusnya menjadi milik bersama.
“Jangan kita membina istana di atas pusara. Jangan jadikan isu ini bahan untuk populariti. Yang kita mahukan adalah keadilan, dan dalam masa sama kita terus menghayati makna Merdeka,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini mengekalkan logo Malaysia MADANI dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Menurut Fahmi, tema itu menggambarkan tekad kerajaan untuk terus mengangkat kesejahteraan rakyat serta memupuk perpaduan sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Walau apa cabaran sekalipun, Merdeka adalah saat kita bersatu sebagai rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar perayaan, tetapi simbol semangat kebangsaan yang tidak boleh dipadamkan,” tegasnya.