Esok Penentu Rayuan Syed Saddiq Ketepikan Hukuman Penjara, Sebat, Denda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selama dua hari bermula esok bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan ke atasnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencatat sejarah sebagai wakil rakyat pertama yang dijatuhi hukuman sebatan atas kesalahan jenayah kolar putih.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Dalam prosiding esok, pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengemukakan hujahan bagi pihak Syed Saddiq.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin akan bertindak sebagai responden bagi pihak pendakwaan.

Sekiranya rayuannya ditolak, Syed Saddiq masih mempunyai peluang terakhir untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang menjatuhkan hukuman selepas mendapati beliau bersalah atas keempat-empat pertuduhan.

Dalam penghakiman setebal 22 muka surat, Hakim Azhar menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai tidak masuk akal.

Menurut hakim, sebagai Ketua Armada ketika itu dan salah seorang pemegang amanah akaun, tindakan beliau mengarahkan pengeluaran RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merupakan satu kesalahan pecah amanah.

Mahkamah juga berpandangan bahawa tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa diletakkan di tempat selamat menimbulkan inferens niat jahat di pihak tertuduh.

Dalam petisyen rayuannya, Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan bagi membebaskan dirinya daripada pertuduhan serta mengetepikan hukuman yang dikenakan.

Bagi pertuduhan pertama, beliau disabitkan bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, untuk melakukan pecah amanah melibatkan dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan, serta denda.

Untuk pertuduhan kedua, beliau didapati bersalah menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut antara 8 hingga 21 April 2018.

Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan, serta denda.

Selain itu, Syed Saddiq turut disabitkan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan pemindahan RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Kesalahan ini dilakukan di sebuah bank di Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

BBerkaitan

Latest articles