PUCHONG: Enam lelaki warga India ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki senegara yang ditemukan mati di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, Selangor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata kesemua suspek merupakan rakan serumah kepada suspek utama yang kini masih diburu.
“Kita telah mengenal pasti identiti suspek utama dan usaha mengesannya sedang dijalankan. Setakat ini, empat saksi termasuk pengadu sudah diambil keterangan, manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, mangsa berusia 49 tahun bekerja sebagai juruelektrik dan telah menetap di Malaysia sejak 19 tahun lalu.
Mayat lelaki itu ditemukan sekitar jam 7.03 malam selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk tempatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










