KOTA BHARU: Polis menahan empat lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, yang dipercayai berkait dengan kegiatan jenayah terancang di negeri ini.
Mohd Yusoff berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk dirakam keterangan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Menurut beliau, pihak polis tidak menolak kemungkinan ugutan berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen (along) yang terkesan dengan tindakan tegas polis dalam membanteras kegiatan jenayah.
“Kita sedang menyiasat secara menyeluruh dan tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk mereka diupah oleh sindiket dadah atau along,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan Tahun 2026 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Yusoff menerima ugutan dipercayai daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan tegas pasukan polis Kelantan dalam memerangi jenayah, khususnya melibatkan aktiviti haram yang berleluasa di negeri itu.
Ugutan berkenaan dikesan menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding sebuah lapang sasar di Gunong, Bachok, pada 22 Disember lalu, yang mengandungi mesej berunsur ancaman terhadap beliau.
Mohd Yusoff menegaskan, tindakan ugutan sedemikian tidak akan melemahkan semangat pasukan polis Kelantan sebaliknya meningkatkan lagi komitmen mereka untuk terus menegakkan undang-undang dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.










