Dzulkifli: Kuasa AMLA Wajar Diaktifkan Secara Agresif Untuk Tangani Scam Berbilion Ringgit

KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menggunakan kuasa penyiasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) secara lebih berkesan dan agresif, bagi menangani jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan muka depan akhbar The Star hari ini bertajuk “Business owner duped in RM1.8 million online investment scam”, yang mendedahkan bagaimana seorang usahawan menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian sehingga kerugian mencecah RM1.8 juta.

Menurut Dzulkifli, yang juga presiden  Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) kejadian seperti ini semakin kerap berlaku dan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada rakyat Malaysia, justeru pendekatan penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan.

“Sudah tiba masanya agensi penguatkuasaan seperti PDRM menggunakan kuasa di bawah AMLA dengan lebih efektif dan agresif. Fokus utama bukan hanya menangkap pelaku – itupun sekiranya siasatan benar-benar dilakukan – tetapi mesti mengesan aliran dana haram tersebut dan mendapatkan semula wang yang telah dicuri” katanya.

Tambah beliau, tindakan terhadap pelaku semata-mata tidak lagi mencukupi, terutamanya apabila penipuan itu melibatkan sindiket antarabangsa atau akaun keldai yang sukar dikesan.

Dzulkifli menekankan bahawa usaha pengesanan dan mendapatkan semula dana mangsa perlu menjadi keutamaan dalam pendekatan penyiasatan, selari dengan objektif AMLA yang turut memberi penekanan terhadap pembekuan, penyitaan dan pelucuthakan hasil daripada aktiviti haram.

BBerkaitan

Latest articles