KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa tindakan tegas diambil terhadap sebuah sekolah yang cuai dalam isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik, meskipun pekerja terlibat dikatakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau mempersoalkan kewajaran memberikan tanggungjawab memasang bendera kepada individu OKU tanpa pengawasan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kegagalan menjaga maruah simbol negara.
“Jika benar individu tersebut adalah OKU, pihak sekolah tetap perlu dipertanggungjawabkan kerana membiarkan tugas penting ini tanpa pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempertikaikan rasional pemilihan pekerja OKU untuk tugasan itu, sedangkan pihak sekolah sedar akan keupayaan individu berkenaan.
Kenyataan Dr Akmal itu susulan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa di sidang DUN Negeri Sembilan bahawa pekerja yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson adalah OKU.
Terdahulu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua telah memohon maaf secara terbuka atas insiden berkenaan menerusi kenyataan Lembaga Pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Dr Akmal turut menyifatkan kegagalan pihak sekolah menyedari kesilapan itu sebagai bukti sikap sambil lewa terhadap isu patriotisme.
“Bendera itu dipasang terbalik dan dibiarkan begitu sahaja jelas menunjukkan tiada keprihatinan,” katanya lagi.
Tambah beliau, status OKU tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan pihak tertentu daripada dipertanggungjawabkan jika kes seumpama ini berulang.
Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti jenis ketidakupayaan individu terlibat sama ada fizikal atau mental dan menilai kesesuaiannya bekerja di sekolah.
Malah Dr Akmal menempelak pihak yang menuduh kenyataan beliau sebagai bermotif politik.
“Ini bukan isu politik, ini soal kecintaan terhadap negara. Yang mempolitikkan isu ini sebenarnya adalah mereka yang cuba menutup kelemahan dengan alasan politik,” tegasnya.