KUALA LUMPUR: Di sebalik dakwaan Amerika Syarikat sebagai watak utama kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, Malaysia sebenarnya memainkan peranan penting yang mendorong tercapainya gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Pemerhati politik dan pakar geostrategi, Prof. Dr. Azmi Hassan, berkata peranan aktif Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN menjadi pemangkin utama kepada kejayaan rundingan itu jauh lebih awal sebelum penglibatan rasmi Amerika Syarikat.
“Malaysia bergerak pantas sejak hari pertama konflik tercetus. Perdana Menteri sendiri terus menghubungi kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja bagi memulakan rundingan damai,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Dr. Azmi, berdasarkan maklumat diplomatik serantau, kedua-dua negara berseteru hanya bersetuju untuk kembali ke meja rundingan pada hari ketiga selepas campur tangan langsung dari Malaysia.
“Amerika Syarikat hanya mula menunjukkan penglibatan pada hari keempat, ketika usaha Malaysia sudah menunjukkan hasil,” jelasnya.
Tambah beliau, dua faktor utama menjadi kekuatan Malaysia dalam krisis ini iaitu kedudukan strategik sebagai Pengerusi ASEAN dan pengalaman luas sebagai pemudah cara damai, seperti dalam rundingan konflik di Selatan Thailand, Aceh dan Mindanao.
Apa yang dianggap paling luar biasa, kata Dr. Azmi, adalah keputusan Malaysia menjemput dua kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat untuk turut serta dalam rundingan damai.
“Langkah ini jarang berlaku dalam krisis serantau. Namun keberanian Malaysia membuka ruang kepada kedua-dua negara kuasa besar terbukti berkesan, sekali gus mempercepatkan persetujuan gencatan senjata,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Presiden AS tidak menyebut nama Malaysia secara langsung dalam kenyataannya, komuniti serantau dan pemerhati antarabangsa sedar akan peranan penting diplomasi Malaysia yang diterajui kepimpinan berwibawa.
Gencatan senjata ini bukan sahaja berjaya menghentikan pertempuran yang meragut nyawa, tetapi turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa pendamai berpengaruh dalam landskap ASEAN dan global, tambah Dr. Azmi.
“Kejayaan ini adalah refleksi kebijaksanaan diplomasi Malaysia dalam mengurus konflik serantau secara berani dan seimbang,” katanya lagi.
Konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja tercetus baru-baru ini susulan pertikaian kawasan sempadan dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, yang turut melibatkan Laos.
Lokasi tersebut mempunyai kepentingan strategik dan sejarah kerana menempatkan kuil-kuil purba yang menjadi rebutan.
Tentera Thailand melaporkan tiga orang awam cedera akibat serangan roket oleh Kemboja, manakala Phnom Penh menuduh tentera Thailand menceroboh wilayah kedaulatan mereka.