KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Muar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tirinya.
Tertuduh, 56,q didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi.
Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, IPD Muar antara 17 Sept hingga 21 Dis tahun lalu, menurut Harian Metro.
Pekerja pembersihan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Nariman Badruddin berkata perbuatan tertuduh sangat teruk dan berharap lelaki itu insaf dan tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika tidak membayar denda.
Tertuduh kemudian membayar denda itu.