KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan khabar angin yang mendakwa beliau bakal menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sambil menyifatkan spekulasi tersebut sebagai tidak berasas dan mengganggu kestabilan politik negara.
Menurut Johari, kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar ketika ini masih kukuh dan tidak tergugat walaupun dihimpit pelbagai desas-desus politik.
“Mana ada cukup sokongan? UMNO hanya ada 26 Ahli Parlimen. Isu nak jadi Perdana Menteri ini langsung tidak timbul.
“Apa yang saya boleh katakan, Kerajaan Perpaduan aman dan stabil. Jangan ganggu pentadbiran. Kalau tak puas hati, tunggu pilihan raya,” katanya ketika diminta mengulas spekulasi tersebut, seperti dipetik sebuah portal hari ini.
Khabar angin itu mula tersebar selepas laporan mendakwa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersama lapan lagi wakil rakyat PKR kononnya merancang meninggalkan parti dan menyokong Johari sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Menurut laporan sama, kumpulan itu dikatakan sedang merangka langkah untuk membentuk “Kerajaan Perpaduan 2.0” dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional, PAS, serta blok Sabah dan Sarawak.
Namun setakat ini, tiada pengesahan rasmi atau bukti mengaitkan mana-mana pihak dengan dakwaan tersebut.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, menegaskan bahawa beliau kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab dalam kerajaan dan tidak terlibat dengan sebarang gerakan politik menjatuhkan Perdana Menteri sedia ada.
“Saya tak tahu siapa mereka-reka cerita ini, tetapi tumpuan saya sekarang adalah kepada portfolio kementerian dan membantu menjayakan dasar kerajaan perpaduan,” katanya lagi.