KUALA LUMPUR: Meskipun tidak lagi sehebat dan sekuat dahulu, UMNO tetap memiliki keupayaan serta kekuatan tersendiri untuk terus menyumbang kepada bangsa dan negara, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berucap sempena ulang tahun ke-79 UMNO hari ini, Khaled menegaskan bahawa parti keramat itu kekal relevan sebagai juara dalam memperjuangkan isu-isu melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam, tidak kira dalam jajaran politik mana sekalipun.
“UMNO telah menabur jasa dan mencurah bakti membina serta membangunkan negara ini dalam pelbagai kapasiti sejak penubuhannya 79 tahun lalu,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa walaupun diuji dengan cabaran masa, UMNO tetap tidak menggadaikan prinsip perjuangannya.
Parti itu, katanya, terus mendokong nilai kesederhanaan yang menjadi teras utama sejak awal penubuhannya.
“UMNO kekal dengan nilai-nilai baik dan unggul. Kita jauh sekali daripada ekstremisme atau fahaman radikal,” tegasnya lagi.
Namun begitu, Khaled mengakui bahawa usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan masa serta strategi yang bijaksana.
“Proses ini bukan berlaku dalam sekelip mata. Ia menuntut usaha berterusan, kesungguhan dan daya tahan,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan UMNO dalam beberapa siri pilihan raya kecil kebelakangan ini adalah bukti hasil usaha para ahlinya yang setia dan komited terhadap perjuangan.
“Kemenangan ini bukan semata-mata kerana jajaran politik, tetapi kerana semangat dan kerja keras semua ahli parti,” tambahnya sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO yang terus setia berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.