KUALA LUMPUR, Nanostix Innovations Sdn Bhd menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperluaskan pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan ke atas produk rokok elektronik (vape) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil, langkah ini dilihat lebih inklusif dan progresif berbanding larangan menyeluruh, meskipun memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar.
“Namun, kenyataan Perdana Menteri dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan larangan mutlak terhadap vape. Ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perbezaan pendekatan antara kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri yang telah mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape turut memburukkan keadaan.
“Ketidaksepadanan dasar ini menyukarkan pelaburan, merencatkan perancangan jangka panjang dan menjejaskan keyakinan industri,” katanya.
Nanostix berpandangan isu utama yang wajar diberi tumpuan ialah lambakan produk vape haram dan tiruan yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, tidak dikenakan cukai dan berisiko tinggi terhadap kesihatan pengguna.
“Kerajaan perlu mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap produk haram serta mempercepatkan penubuhan badan pengawal selia khusus bagi industri vape,” tegas Shahabudeen.
Beliau turut mengingatkan bahawa larangan menyeluruh bukan sahaja menjejaskan kelangsungan ribuan usahawan tempatan, malah membuka laluan kepada penguasaan pasaran gelap.
Sebagai syarikat tempatan yang komited terhadap pematuhan piawaian dan amalan beretika, Nanostix menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk vape terpelihara.
“Kami menyokong penuh sebarang langkah kawal selia yang melindungi kesihatan awam dan dalam masa sama memelihara industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab,” katanya.
Nanostix Innovations Sdn Bhd merupakan syarikat tempatan yang menerajui pembangunan dan pengeluaran produk rokok elektronik berkualiti tinggi, serta menyokong kawal selia yang seimbang demi perlindungan pengguna dan kemajuan industri sah di Malaysia