Dari ‘Raja Formula’ Kepada ‘Raja Bitter’ – Rafizi Sindir Politik Serang Peribadi

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar budaya melabel dan serangan peribadi terhadap dirinya yang disifatkan sebagai taktik usang golongan ahli politik yang gagal berhujah secara berfakta.

Menurut Rafizi, gelaran ‘Raja Formula’ yang pernah digunakan untuk menyerangnya sebelum ini kini ‘naik taraf’ kepada ‘Raja Bitter’, namun hakikatnya ia berpunca daripada ketidakmampuan pihak tertentu menjawab isu yang dibangkitkan secara rasional dan berasas.

“Saya sudah lali diserang dengan macam-macam gelaran. Dulu Raja Formula, sekarang Raja Bitter pula. Setiap kali saya dedahkan skandal atau isu ketika era UMNO dan Barisan Nasional memerintah, mereka tidak mampu patahkan fakta yang saya kemukakan, lalu jalan mudah ialah serang peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi menjelaskan, pendekatan menyerang karakter individu telah lama digunakan terhadapnya sejak beliau aktif membongkar pelbagai skandal besar kerana pihak terlibat ketandusan jawapan berfakta.

Lebih ironik, katanya, kaedah sama kini digunakan oleh segelintir pihak dalam PKR sendiri, termasuk kumpulan yang disifatkannya sebagai ‘ceplos’ atau tentera siber, setiap kali pandangannya tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

“Bila hujah dan fakta tidak dapat disangkal, mereka mula menyerang peribadi. Kali ini ditambah pula label ‘Raja Bitter’, kononnya saya berdendam, kecewa dan sakit hati,” katanya sinis.

Tambah beliau, taktik sedemikian bukan sahaja tidak berkesan untuk jangka panjang malah berpotensi memakan diri, khususnya apabila berhadapan dengan pengundi atas pagar dan generasi muda yang lebih kritikal.

“Pengundi atas pagar tidak terikat dengan kesetiaan parti. Mereka sedar undi adalah kuasa, sebab itu serangan peribadi tidak memberi kesan besar kepada mereka, lebih-lebih lagi Gen Z,” ujarnya.

Rafizi turut menyindir pendekatan jentera komunikasi kerajaan yang menurutnya masih beranggapan rakyat boleh ‘dikawal’ seperti ahli parti, sedangkan realitinya pengundi hari ini lebih bebas dan berfikir secara matang.

“Pendekatan terbaik ialah memberi pencerahan melalui hujah yang bersandarkan fakta, bukan label atau sindiran,” katanya.

Dalam nada menyindir, beliau turut ‘memberi nasihat’ kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) supaya menghentikan kebergantungan kepada label, troll dan akaun palsu yang disifatkannya sudah terbukti gagal sejak lebih sedekad lalu.

“Satu-satunya kaedah yang berkesan ialah hujah dan fakta untuk mematahkan hujah lawan. Selagi politik ‘ceplos’ dijadikan sandaran, selagi itulah persepsi rakyat terus bocor,” tegasnya.

Semalam, bekas Menteri Ekonomi itu turut menegaskan beliau tidak mempunyai obsesi untuk menjadi perdana menteri, satu ketaksuban yang menurutnya telah membentuk perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau diminta mengulas kemungkinan tindakan disiplin oleh PKR terhadap dirinya serta beberapa pemimpin lain yang sehaluan dengannya.

BBerkaitan

Latest articles