KUALA LUMPUR: Kerajaan memaklumkan suntikan dana pinjaman sebanyak RM1.1 bilion bagi membantu vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri minyak dan gas di bawah Sapura Energy Berhad (SEB).
Dana ini akan disalurkan terus kepada vendor, bukan kepada syarikat tersebut.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah ini bertujuan melunaskan hutang kerja yang telah disiapkan oleh vendor tetapi masih belum menerima bayaran daripada SEB.
Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 vendor di bawah Sapura Energy, dengan 80 peratus daripadanya adalah Bumiputera.
Justeru, bantuan ini dianggap penting dalam memastikan kelangsungan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.
“Bantuan ini tidak diberikan kepada syarikat, sebaliknya kepada vendor yang telah bekerja. Mereka tidak sepatutnya dihukum. Jika kita tidak membantu, mereka akan bankrap dan ini akan menjejaskan ekosistem industri ini,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan & Agensi di sini, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa suntikan dana ini bukanlah satu langkah “bailout” untuk menyelamatkan syarikat besar atau pengurusannya. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan vendor tempatan tidak terjejas.
“Ini bukan penyelamatan syarikat besar. Semua pengurusan kanan dan pengerusi mesti berundur serta digantikan dengan pengurusan baharu. Jika ada keperluan siasatan, ia akan diteruskan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika SEB ditutup, Malaysia akan kehilangan satu-satunya syarikat tempatan yang mampu mengendalikan operasi minyak dan gas di peringkat hiliran, sekaligus membuka ruang kepada syarikat asing untuk menguasai sektor tersebut.