Dadah, Vape Membunuh Generasi Muda Sejak Kecil, PM Gesa Penyelesaian Segera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa agar langkah segera dan menyeluruh diambil bagi membanteras penularan penyalahgunaan dadah dan vape yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda, khususnya anak Melayu.

Berucap di Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Dewan Auditorium Tun Azizan Zainal Abidin hari ini, beliau menyifatkan isu ini sebagai “sudah membarah” dan perlu ditangani dengan serius sebelum menjadi lebih parah.

“Tadi, mesyuarat Kabinet bincang isu dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita. Tolonglah bincang, apakah perlu kaunseling, perlu dakwah. Dah puluh tahun kita fikir, tapi belum selesai.

“Betul ada anak Cina, India, tetapi lebih parah anak Melayu. Membunuh jiwa mereka dari kecil. Kena lakukan sesuatu,” ujar Anwar.

Anwar tidak menafikan bahawa semua kaum terkesan, namun angka dan kesan lebih ketara dalam kalangan orang Melayu.

Beliau menyeru agar pendekatan holistik digunakan termasuk pendekatan pendidikan, kaunseling, agama dan penguatkuasaan undang-undang –
demi menyelamatkan masa depan anak bangsa.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa platform dalam talian yang menjual produk vape bercampur dadah akan dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap individu yang terlibat. Penjualan bahan terlarang secara terbuka ini adalah satu bentuk sabotaj terhadap masa depan anak muda,” katanya.

Semalam, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan turut mendesak kerajaan agar menggantung lesen, mendenda dan mendakwa pengedar vape yang melanggar undang-undang seperti termaktub dalam Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau menyifatkan kelonggaran penguatkuasaan sebagai antara punca produk vape yang berbahaya terus berleluasa di pasaran.

BBerkaitan

Latest articles