GEORGE TOWN: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan empat warga tempatan menyeludup 86 kilogram ganja bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom, menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lalu.
Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kesemua suspek – dua lelaki dan dua wanita berusia 20-an dari Johor dipercayai diperdaya menjadi ‘keldai dadah’ selepas menerima tawaran kerja melalui aplikasi TikTok.
Menurutnya, kegiatan mereka terbongkar selepas bagasi pasangan kedua yang tidak dibenarkan menaiki pesawat diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan yang menemui objek mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut oleh pegawai AKPS menemui bungkusan berisi ganja disorokkan dalam bagasi tersebut.
“Pasangan pertama sudah sempat menaiki pesawat ke Manchester, manakala pasangan kedua hanya mempunyai tiket sehingga Singapura. Syarikat penerbangan menghubungi AKPS untuk siasatan dan hasil imbasan, kita menemui dadah disyaki ganja,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambahnya, siasatan mendapati semua suspek menerima tawaran kerja membawa barangan sambil melancong ke luar negara dengan upah antara RM8,000 hingga RM11,000.
Mereka datang ke Pulau Pinang menaiki bas dari Johor dan menginap di beberapa hotel sekitar George Town sebelum ditahan.
“Mereka ini masih muda, ada yang bekerja sendiri, pemandu e-hailing dan seorang lagi dalam sektor minyak dan gas. Saya nasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya tawaran kerja sebegini, lebih-lebih lagi jika melibatkan perjalanan antarabangsa,” katanya.
Kesemua suspek kini ditahan di Kompleks Pencegahan Negeri Kastam Pulau Pinang untuk siasatan lanjut oleh Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.










