CHERAS: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu kejadian cubaan ragut yang berakhir dengan kematian suspek di sebuah taman perumahan berhampiran Batu 9, Cheras pada 22 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek lelaki terbabit telah dipukul oleh orang awam selepas gagal meragut seorang wanita berusia 36 tahun yang juga merupakan guru Tadika Kemas.
“Bedah siasat telah dijalankan pada hari kejadian dan setakat ini, punca kematian masih menunggu laporan penuh daripada pakar patologi dan Jabatan Kimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan insiden tersebut, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian memukul suspek.
Kesemua mereka telah direman sehingga esok dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun.
Jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali.
Naazron memaklumkan, kes telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam dan kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya lagi.