KUALA LUMPUR: Kaedah pengajaran dua guru dalam satu kelas atau co-teaching bakal diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, sebagai antara pembaharuan utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pendekatan itu akan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih interaktif, kreatif serta berkesan, selain memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya.
“Dalam kaedah co-teaching, dua guru bekerjasama dalam satu kelas, bukan guru dibantu pembantu pengajar, tetapi dua tenaga pengajar setara yang saling melengkapkan. Pendekatan ini memberi peluang PdP dilaksanakan dengan lebih dinamik dan menarik minat pelajar,” katanya sebagaimana memetik temu bual eksklusifnya bersama Berita Harian.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan co-teaching turut membantu menangani masalah kelas padat serta mengurangkan risiko keciciran pelajar, di samping menggalakkan guru berinovasi dalam pendekatan mereka.
Menurut Fadhlina, kurikulum baharu itu turut memperkenalkan konsep pembelajaran bersepadu, yang membolehkan beberapa subjek seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Muzik diajar serentak dalam satu sesi.
“Pendekatan ini memberi peluang pelajar memahami sesuatu konsep secara menyeluruh. Pada masa sama, semua guru sama ada mengajar Sains, Matematik atau Bahasa perlu menerapkan nilai dan pembentukan karakter dalam pengajaran masing-masing, bukan hanya terhad kepada subjek Pendidikan Islam atau Moral,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 juga mengekalkan teras pendidikan negara sedia ada, tetapi menambah baik kaedah PdP agar lebih sesuai dengan generasi masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi.
Selain itu, Fadhlina berkata, KPM telah memperuntukkan masa khusus 60 minit seminggu untuk Program Pembentukan Karakter, yang akan dijadikan sebahagian daripada jadual waktu persekolahan.
Program ini bertujuan memperkukuh nilai, adab dan akhlak dalam kehidupan seharian pelajar.
Mengulas kesediaan guru, beliau menjelaskan sesi latihan dan penataran telah dimulakan sejak 2024 bagi memastikan tenaga pengajar bersedia sebelum sesi akademik 2027 bermula.
“Kita sudah bersedia. Tahun depan (2026) akan menjadi fasa terakhir penataran sebelum pelaksanaan penuh pada 2027. Malah ramai guru menyambut baik perubahan ini kerana ia memberikan pengalaman baharu dan lebih bermakna,” katanya.
Fadhlina turut menegaskan bahawa kaedah co-teaching bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan memandangkan ia telah berjaya di beberapa negara lain.
“Anak-anak kini lebih tertarik kepada pendekatan visual dan interaktif. Maka, dua guru dalam satu kelas memberi ruang untuk pelaksanaan aktiviti pembelajaran yang lebih hidup dan menyeronokkan,” katanya.










