KULAI: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berhasrat mengemukakan cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka dalam mesyuarat MKT yang dijadual berlangsung pada 17 April ini.
Menurut beliau, saranan itu dibuat mengambil kira situasi semasa yang disifatkan tidak menentu susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat, selain tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.
“Adakah sesuai kita adakan pilihan raya dalam keadaan yang tidak tenang? Buat masa ini, suasana masih belum stabil,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, beliau akan membentangkan cadangan tersebut dalam mesyuarat yang akan diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC) pada jam 8 malam.
“Saya akan mencadangkan supaya PRN Melaka dan Johor ditangguhkan dan tarikh baharu dipilih pada waktu yang lebih strategik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Pejabat Jurutera JKR Kulai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad memaklumkan tempoh mandat bagi PRN Melaka dijangka berakhir pada November tahun ini, manakala Johor pula pada tahun hadapan.
Tambah beliau, pertimbangan untuk menangguhkan pilihan raya juga dibuat selepas menilai kesan kenaikan harga bahan api, khususnya diesel, yang membebankan rakyat ketika ini.
“Walaupun pelbagai bantuan dan inisiatif telah disediakan, isu harga diesel masih sukar dikawal. Keadaan ini menjejaskan rakyat dan tidak sesuai untuk kita adakan PRN dalam masa terdekat,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa faktor ketidaktentuan politik dan tekanan ekonomi semasa wajar diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai tarikh PRN dibuat.










