ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun Januari lalu.
Malaysia Gazette melaporkan perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun yang juga bapa kepada seorang anak itu dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Suspek sebelum ini turut berdepan atas lima pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka berusia 13 tahun pada 4 Mei lalu yang juga merupakan kakak kepada mangsa.
Menurut sumber, kejadian melibatkan mangsa lima tahun pada 9 Julai lalu terbongkar selepas kanak-kanak berkenaan menceritakan perbuatan suspek kepada ibunya yang berlaku di kawasan taman perumahan mereka pada petang Januari lalu.
“Mangsa mendakwa, ketika itu dia sedang dalam perjalanan pulang dari tadika pada waktu petang sebelum tiba-tiba suspek yang dikenali ibu dan bapanya membawanya bersiar-siar di kawasan taman perumahan didiami menaiki kereta.
“Suspek kemudian dikatakan mengajak mangsa untuk membeli aiskrim dan selepas itu dia memeluk, mencium pipi dan mulut serta menyentuh kemaluan kanak-kanak itu,” katanya.
Jelasnya, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik mendakwa kejadian serupa kerap berlaku dan suspek mengumpan kanak-kanak itu dengan aiskrim sebelum mencabulnya.
“Bertindak hasil daripada maklumat, polis kemudian menahan suspek petang semalam bagi mendapatkan perintah reman hari ini.