CAB Cakaran Ambil Alih Perniagaan Makanan Haiwan Cargill di Malaysia Bernilai RM231 Juta

Kuala Lumpur – CAB Cakaran Corporation Bhd (CAB), menerusi anak syarikat milik penuhnya CAB Cakaran Sdn Bhd, bakal mengembangkan operasi perniagaannya ke dalam sektor makanan haiwan dengan mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Cargill Feed Sdn Bhd pada nilai tunai sebanyak RM231 juta.

Pengambilalihan itu melibatkan kesemua empat kilang makanan haiwan milik Cargill Feed di Malaysia, sekaligus menjadikan CAB sebagai pemilik kepada kilang-kilang yang sebelum ini menjadi sumber bekalan kepada operasi unggas syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan CAB, Christopher Chuah Hoon Phong, berkata langkah strategik itu akan mengukuhkan rantaian nilai penuh perniagaan unggas kumpulan tersebut.

“Pengambilalihan ini melengkapkan model operasi ‘farm to fork’ CAB, yang kini meliputi kilang makanan haiwan sendiri, penternakan baka utama, ladang penetasan, ladang ternakan, loji pemprosesan, serta saluran logistik dan pengedaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penguasaan terhadap sumber makanan haiwan yang boleh dipercayai dan kos efektif akan meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong pelan pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

Cargill memulakan operasi makanan haiwan di Malaysia sejak 1986 dan memiliki kilang di Melaka, Butterworth, Westport serta Kota Kinabalu dengan kapasiti gabungan kira-kira 400,000 metrik tan setahun.

Menurut CAB, pengambilalihan ini juga akan membolehkan kumpulan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar serta meminimumkan pendedahan terhadap turun naik harga bahan mentah.

“Kami juga melihat potensi kerjasama inovasi dengan Cargill dalam pembangunan produk makanan haiwan yang lebih baik,” tambah Chuah.

Cargill Feed menghasilkan pelbagai jenis makanan haiwan komersial untuk keperluan pemakanan unggas, ternakan serta spesies akuakultur, dengan pelanggan terdiri daripada ladang komersial hingga peruncit.

CAB Cakaran merupakan salah satu pengeluar makanan terbesar di Malaysia, tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dan memiliki rangkaian pengedaran meluas termasuk di Singapura.

BBerkaitan

Latest articles