Bunuh, Buang Mayat Kanak-Kanak: Penganggur Dijatuhi Hukuman Mati

ALOR SETAR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, sebelum membuang mayatnya di kawasan hutan Gunung Raya, Langkawi, enam tahun lalu.

Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 43, disabitkan kesalahan membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah antara jam 9 hingga 10 pagi pada 23 Februari 2019 di kuarters Hospital Langkawi, Kuah.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad dalam penghakimannya berkata, walaupun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana hanya tengkorak dan dua gigi mangsa ditemukan, keterangan berdasarkan situasi menunjukkan perbuatan tertuduh jelas membawa kepada kematian mangsa.

“Tertuduh terbukti menjadi individu terakhir bersama mangsa, membawa polis ke lokasi penemuan mayat, menipu ibu mangsa dan melarikan diri dari Langkawi selepas laporan dibuat,” ujar Hakim Evawani.

Mahkamah turut meneliti sejarah penderaan yang dilakukan tertuduh termasuk memberi makanan bercampur cili serta kesan melecur rokok dan lebam pada tubuh mangsa.

Isteri tertuduh yang merupakan jururawat memberi keterangan bahawa beliau menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, kaku, dan tidak berpakaian pada malam kejadian.

Tertuduh mendakwa mangsa meninggal dunia akibat demam dan kesan ubat, namun pembelaan itu ditolak mahkamah.

Hakim turut menyifatkan tertuduh sebagai “opportunist” yang mengambil kesempatan atas kelemahan wanita, langsung tidak menunjukkan rasa kesal sepanjang perbicaraan.

“Perbuatan tertuduh membuang mayat kanak-kanak itu ke dalam hutan tanpa sebarang pengurusan sewajarnya membuktikan sikap tidak berperikemanusiaan,” kata hakim.

Mangsa ditinggalkan dalam jagaan tertuduh oleh ibunya selama dua bulan ketika mereka tinggal bersama di kuarters hospital dan bekerja di sebuah kedai makan.

Kehilangan Nur Aisyah hanya disedari selepas ibu mangsa gagal menemuinya dan tertuduh memberi alasan kononnya anak itu telah diserahkan kepada orang lain.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam Ai Cha Ran.

BBerkaitan

Latest articles