KUALA LUMPUR: Pengurusan GiatMARA Negeri Melaka akan memanggil semua individu yang terlibat dalam video tular membabitkan dakwaan seorang pelatih orang kelainan upaya (OKU) dibuli di GiatMARA Durian Tunggal bagi membantu siasatan lanjut.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelatih yang dikatakan menjadi mangsa juga akan dipanggil esok bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden yang mencetuskan kebimbangan ramai.
“Saya tegaskan, tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan membuli, sama ada secara fizikal mahupun mental. Tiada ruang untuk pembuli di mana-mana institusi pendidikan MARA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, MARA memandang serius isu tersebut dan tindakan paling tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku atau jenayah buli.
“Saya telah tekankan prinsip ini kepada seluruh pengurusan MARA dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) seperti MRSM, IKM, KKTM, UniKL dan lain-lain. Budaya buli tidak akan ditoleransi sama sekali,” katanya lagi.
Siasatan awal mendapati insiden itu mungkin hanya gurauan kasar antara pelatih yang kini sedang menjalani latihan industri dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.
Namun siasatan menyeluruh tetap dijalankan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi dua minit di media sosial yang dimuat naik oleh seorang pemuda, mendakwa seorang pelatih OKU di GiatMARA Durian Tunggal menjadi mangsa buli.
Pemuda itu memdakwa, mangsa menceritakan kejadian berkenaan ketika mereka baru berkenalan di gelanggang badminton.