Bukan Hadiah Politik – Sultan Pahang Tegur Isu Pengampunan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kuasa pengampunan yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dinilai secara emosional atau dipengaruhi sentimen berlebihan.

Paduka Baginda bertitah, kuasa berkenaan bukanlah suatu ganjaran politik mahupun simpati peribadi, sebaliknya mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai benteng terakhir dalam sistem keadilan negara yang bersifat menghukum.

Menurut baginda, sebarang pengampunan atau pengurangan hukuman tidak sama sekali memadamkan sabitan mahkamah, menghapuskan rekod jenayah atau menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi teras pentadbiran negara.

“Kuasa ini juga bukan eksklusif kepada individu, parti atau kedudukan tertentu. Setiap tahun, ratusan banduan daripada pelbagai latar belakang termasuk kes jenayah berat dan ringan menerima pengurangan hukuman atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” titah baginda seperti dipetik menerusi Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda turut menegaskan bahawa keputusan pengampunan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan sistem semak dan imbang yang berlapis.

Dalam pada itu, Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kerangka Raja Berperlembagaan, raja tidak bertindak sebagai alat sentimen awam atau tunduk kepada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan keadaan ketika emosi memuncak.

“Kuasa pengampunan tidak harus dilihat sebagai kelemahan sistem. Ia adalah peringatan bahawa negara ini tidak ditadbir melalui emosi media sosial, tidak menghukum di pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah baginda.

Mengakhiri titah, Sultan Pahang menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara berprinsip dan berteraskan undang-undang serta mendoakan agar negeri dan negara sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

BBerkaitan

Latest articles