JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengalami kecederaan serius di kepala selepas diserang seorang lelaki dengan tukul besi di Flat Ungku Tun Aminah, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.19 petang selepas mangsa didakwa diserang secara tiba-tiba oleh suspek berhampiran kawasan lif di blok perumahan berkenaan.
“Mangsa mengalami pendarahan pada kepala dan segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut. Keadaannya kini stabil namun mengalami koyakan di kepala dan bengkak pada tangan kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Insiden itu turut dirakam dalam video berdurasi dua minit 19 saat yang tular di media sosial.
Rakaman memaparkan suspek mundar-mandir di hadapan lif sebelum kedengaran jeritan kanak-kanak dan kelihatan seorang kanak-kanak perempuan melarikan diri sambil memegang kepalanya yang berlumuran darah.
Bertindak atas laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, pihak polis dari Balai Polis Tun Aminah berjaya menahan suspek kira-kira 7.25 malam hari sama di sebuah kediaman berhampiran.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 39 tahun dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, termasuk kes berkaitan dadah. Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujar Balveer.
Suspek kini direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.