Budak 6 Tahun Jadi Mangsa Cabul Duda

MELAKA: Seorang lelaki berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan mencabul anak majikannya, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dua, minggu lalu.

Tertuduh, Mahfuz Mahmud, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri, demikian memetik laporan Malaysia Gazette.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan cara meraba alat sulit dan mencium mangsa bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan di rumah keluarga kanak-kanak berkenaan di Batu 3, Kampung Duyong, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.25 pagi 21 Jun 2025.

Difahamkan, ketika kejadian, tertuduh yang membantu bapa mangsa berniaga di hadapan rumah memberi alasan masuk ke dalam rumah untuk minum air.

Namun begitu, tertuduh bertindak mengunci pintu dan menyebabkan bapa mangsa curiga sebelum terkejut apabila nampak perlakuan suspek menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azfar Mahmud menawarkan jaminan RM20,000 selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan serta perlu menyara lima anak dan ibu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 29 Julai ini.

BBerkaitan

Latest articles