KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah dijangka mengumumkan baki lima hingga enam kerusi calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 dalam tempoh beberapa hari lagi, kata Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Sebahagian besar daripada baki kerusi berkenaan melibatkan calon muka baharu,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon-calon BN di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Menurut Bung Moktar, pembahagian kerusi antara parti komponen telah dimuktamadkan, dengan PBRS memperoleh dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook dan DUN Kundasang, manakala MCA pula menandingi DUN Tanjung Kapur.
Bung Moktar mengesahkan baki kerusi di bawah gabungan kerajaan perpaduan itu akan diperuntukkan kepada Pakatan Harapan (PH), sambil menafikan sebarang pertindihan kerusi setakat ini.
Mengulas strategi BN menampilkan calon muda, Bung Moktar berkata langkah itu dibuat kerana pengundi muda kini membentuk 65 peratus daripada pemilih Sabah. Beliau menjelaskan pihaknya berharap dengan menampilkan calon muda, pemilih muda akan memberi sokongan.
Menjawab soalan mengenai keberanian BN menampilkan calon muda, Bung Moktar menegaskan parti itu bersedia menghadapi perubahan besar.
“Walaupun mereka tiada pengalaman, kita bersedia memberi peluang. Muka lama akan membimbing mereka. Kita tidak mahu bergantung kepada orang yang sudah berpuluh tahun,” katanya.
Dua doktor perubatan muda turut diketengahkan sebagai calon, iaitu Dr Shanon Rizal Thajuddin, pakar otak neurologi bagi DUN Sulaman, dan doktor perubatan Dr Elmiariezan Ardan, bagi DUN Apas. Dr Shanon telah mengusahakan klinik sendiri manakala Dr Elmiariezan telah mengemukakan surat peletakan jawatan.
Bung Moktar menegaskan mesej utama BN kepada generasi muda ialah komitmen untuk membina masa depan Sabah yang lebih baik.
“Sokonglah calon-calon BN. Kami bersedia memperbetulkan keadaan hari ini dan mengeluarkan Sabah daripada kemiskinan dalam dua hingga tiga tahun. Lapan daerah termiskin di Sabah dapat kita bangunkan,” katanya.
Beliau turut mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa BN Sabah akan diberi tiga tahun untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya.
“Memang itu yang kita janji dalam Tawaran Baharu. Dalam tiga tahun, kita akan selesaikan isu-isu asas tersebut,” jelasnya.










