KUALA LUMPUR: Tangisan berpanjangan dipercayai menjadi punca seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan didera sehingga maut oleh pasangan ibu bapa angkatnya dalam kejadian tragis di sebuah kondominium di Cheras.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu bertindak di luar batasan kerana tidak tahan mendengar tangisan mangsa yang berlarutan.
“Ibu angkat mangsa mengaku berasa tertekan apabila bayi itu menangis tanpa henti, lalu bertindak menganiaya mangsa. Kecederaan itu bukan sekali berlaku, tetapi berulang sejak sebulan lalu,” katanya kepada Kosmo!
Hasil bedah siasat ke atas bayi malang itu turut mendedahkan terdapat kesan kecederaan serius di beberapa bahagian badan, terutamanya di kepala, termasuk tengkorak yang retak.
Pihak polis mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat penderaan fizikal berterusan.
Pasangan yang disyaki iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun yang bekerja sebagai jurujual, dan isterinya, 38 tahun, seorang suri rumah kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.
Menurut polis, bayi itu dipercayai diserahkan kepada pasangan terbabit oleh ibu kandungnya yang berasal dari Indonesia, pada 18 Jun lalu sebelum wanita itu pulang ke negara asal.
Kes terbongkar selepas bapa angkat bayi tersebut membuat laporan polis sekitar jam 9.34 malam pada 30 Julai lalu, memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tanpa sebab yang diketahui.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.